KUALA LUMPUR - Datuk Mohamad Norza Zakaria semalam memenangi pemilihan Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA), namun beliau bakal berdepan tugas sukar kerana menerajui sebuah jawatankuasa campuran.
Mohamad Norza, 43, mengetepikan pencabarnya, Mohamad Abdullah dengan 33 undi berbalas 21 dalam mesyuarat agung tahunan KLBA. Bagaimanapun beliau tidak mendapat jawatankuasa idaman selepas separuh daripadanya calonnya tewas.
Malah, jawatan No. 2 di KLBA iaitu Timbalan Presiden menyaksikan "orang Mohamad Norza", A. Subramaniam kalah kepada K. Samarasam. Samarasam memperoleh 32 undi berbanding 22 yang diraih Subramaniam.
Walaupun gagal memenangi jawatan Presiden, calon dari pasukan Mohamad bukan saja memenangi jawatan Timbalan Presiden, malah mengisi dua daripada tiga kerusi Naib Presiden - P. Arunachalam dan Saliman Zainal, manakala satu lagi kerusi diisi oleh Gopal Krishnan.
Mohamad Norza ketika ditanya apakah langkah yang akan diambil untuk menerajui sebuah jawatankuasa campuran berkata, beliau tidak kecewa atau bimbang melihat sebahagian calonnya kalah, sebaliknya menerima keputusan semalam daripada sudut yang positif.
"Saya menawar diri sebagai Presiden KLBA hanya untuk membantu membangunkan badminton, dan saya percaya semua yang bertanding hari ini mempunyai matlamat yang sama. Jadi soal jawatankuasa terbahagi kepada dua kumpulan akan selesai sendirinya apabila masing-masing sedar tanggungjawab mereka.
"Saya rasa, bagus juga apabila wakil daripada dua kumpulan berbeza membentuk satu jawatankuasa kerana ia memberi perspektif yang positif kepada badminton dan KLBA. Bila kedua-dua pihak duduk semeja untuk berbincang tentang perancangan dan hala tuju persatuan, maka ia sekali gus memadam unsur-unsur perpecahan,'' ujar Mohamad Norza.
Menurut Mohamad Norza lagi, matlamat utama KLBA adalah untuk kembali kepada asas, iaitu merancang program pembangunan akar umbi dan melahirkan lebih ramai pemain elit daripada pelbagai peringkat umur untuk diketengahkan kepada skuad kebangsaan.
"Langkah pertama yang perlu diambil sebelum merancang program lebih jauh adalah dengan mewujudkan satu pangkalan data dan mendaftarkan semua pemain badminton yang ada di Kuala Lumpur,'' ujar Mohamad Norza lagi.
Terdahulu, Datuk Seri Andrew Kam yang tidak mempertahankan kerusi Presiden KLBA tetap menjalankan tanggungjawab sebagai Presiden KLRC dan bekas Presiden. Kata Andrew, beliau memutuskan untuk berundur bagi memberi peluang kepada muka baru, bagaimanapun beliau akan memberi apa juga sumbangan yang diperlukan badminton tanah air dan KLBA khususnya jika diminta.
"Jawatankuasa kali ini nampak menarik dengan dianggotai wakil dua kumpulan berbeza. Saya sedia menghulurkansumbangan jika diminta. walaupun tiada lagi jawatan dalam KLBA, itu tidak bermakna saya tidak boleh menyumbang,'' kata Andrew.
No comments:
Post a Comment